Covid-19 : Dobi Diminta Laksana Proses Penyahkuman.
SEMUA pemilik perniagaan layan diri dobi di Sabah diminta melaksanakan proses penyahkuman pada setiap peralatan kegunaan pelanggan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, ia termasuklah perkhidmatan bank, hotel dan stesen minyak berkuat kuasa semalam
“Langkah ini adalah bertujuan bagi memastikan semua pengguna atau pelanggan dilindungi daripada penularan wabak Covid-19.
“Pemilik hendaklah sentiasa melakukan proses ini secara berterusan ke atas semua peralatan berkaitan perkhidmatan yang disediakan.
“Peralatan itu seperti mesin ATM, lif hotel dan kemudahan lainnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu.
Sementara itu, Safar menyatakan kerajaan negeri turut mewartakan tiga lokasi baharu sebagai pusat kuarantin.
Menurutnya, tiga lokasi terbabit adalah Masjid Jamek (Kota Belud), Plasma MPOB (Lahad Datu) dan Felda Resident Sahabat (Lahad Datu).
“Pendekatan ini diambil agar pusat kuarantin sedia ada dapat menampung keperluan dan mengelakkan kesesakan,” katanya.
Safar berkata semua keputusan terbabit diputuskan pada mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre, semalam.
Tinggalkan Ulasan Anda. Pihak Kami Tidak Akan Bertanggungjawab Terhadap Sebarang Komen Yang Menyalahi Undang-Undang.