IPOH – Kepatuhan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan hanya akan diketahui pada akhir Februari ini, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.
Beliau berkata, ini kerana kadar berkenaan yang akan dilaksanakan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran akan berkuat kuasa pada 1 Februari dan kepatuhan majikan hanya dapat diketahui pada akhir bulan iaitu semasa pembayaran gaji.
“Ia akan mula efektif pada 28 Februari atau 1 Mac iaitu pada hari pembayaran gaji nanti, jadi selepas itu baru kita tahu ia dipatuhi atau tidak,”.
Kula Segaran pada 13 Januari lepas berkata, gaji minimum RM1,200 akan dilaksanakan pada 1 Februari bagi pekerja di wilayah bandar utama bagi membantu mereka yang berdepan kos sara hidup yang tinggi manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.
SENARAI 57 BANDAR UTAMA YANG WAJIB LAKSANAKAN GAJI MINIMUM RM1,200.00
Bandaraya utama yang terlibat ialah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, manakala bandar utama ialah Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Segamat, Pasir Gudang, Kulim, Sungai Petani, Langkawi, Kubang Pasu dan Kota Bharu.
Turut tersenarai ialah bandar Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol, Kuantan, Temerloh, Bentong, Manjung, Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan, Kangar, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Subang Jaya, Sepang, Kemaman, Dungun, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Sandakan, Tawau, Labuan dan Putrajaya.
-sinarharian-
Tinggalkan Ulasan Anda. Pihak Kami Tidak Akan Bertanggungjawab Terhadap Sebarang Komen Yang Menyalahi Undang-Undang.