A. RABIDIN SATIR dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan selepas didapati bersalah membunuh seorang kakitangan Jabatan Hutan Daerah Bentong pada 2012.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya memutuskan demikian selepas meneliti kesemua bukti pendakwaan dan kegagalan keterangan pembelaan Rabidin, 45, untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Ini merupakan hukuman gantung kali kedua dijatuhkan terhadap lelaki itu setelah dia dikenakan hukuman sama atas kesalahan membunuh seorang remaja perempuan enam tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Rabidin yang berasal dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh kakitangan Jabatan Hutan Daerah Bentong berusia 31 tahun itu antara pukul 3.50 dan 4.30 pagi di alamat JH2 Perumahan Jabatan Perhutanan, Jalan Tras-Bentong pada 3 November 2012.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit bersalah.

Selain itu, tertuduh dihukum penjara 12 tahun dan sebatan dua kali setelah didapati bersalah di bawah Seksyen 4A Akta Senjata Api.

Rabidin turut dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan dua kali di bawah Seksyen 394 Kanun Ke­seksaan iaitu bagi kesalahan merompak serta mendatangkan kecederaan ke atas isteri mangsa pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi dua kesalahan merogol isteri mangsa pada tarikh dan tempat yang sama, mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun penjara dan sebatan empat kali untuk setiap pertuduhan dan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Hakim Mariana ketika membacakan keputusannya berkata, keterangan Rabidin tidak masuk akal dan bercanggah apabila menafikan kesemua barang yang dirampas pada badannya bukan hak miliknya.

“Tertuduh sendiri tidak dapat menjelaskan tentang barang yang dirampas di dalam begnya. Paling mengejutkan tertuduh tiada arah tujuan dan me­nuduh pihak polis memasukkan barang dalam begnya,” kata beliau.

Hakim Mariana berkata, keterangan tertuduh berhubung dakwaan dia dianiaya adalah keterangan ciptaan dan khayalan yang sukar diterima.

“Fakta yang tidak dapat disangkal adalah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh dijumpai pada cebisan sarung tangannya yang berada di rumah mangsa selain air maninya yang dikesan pada cadar dan baju isteri mang­sa,” ujar beliau.

Tertuduh diwakili peguam G. Sivakumar manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustafa.

Pada 5 Februari 2013, Rabidin dihukum penjara 115 tahun dan sebatan 50 kali selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii ke atas empat mangsa berumur antara lapan hingga 17 tahun.

Hukuman tersebut bagaimanapun dikurangkan kepada 40 tahun dan sebatan 24 kali setelah Mahkamah Tinggi di sini pada 29 November tahun lalu memutuskan untuk menerima rayuannya.

Pada 21 Mac 2013, Rabidin turut dihukum penjara 18 tahun selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong yang mahu menahannya.

Walau bagaimanapun, hukuman penjara tersebut kemudian dikurangkan kepada 10 tahun selepas rayuannya diterima mahkamah.

Pada 6 Ogos tahun lalu, Rabidin dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh selepas didapati bersalah membunuh seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, enam tahun lalu dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos lalu.